Kecuali dia seorang guru, maka dia akan tahu apa maksud ‘kerja setengah hari’ dalam konteks seorang guru. Tapi sebagai seorang guru juga, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa khususnya golongan bukan guru yang tidak faham konsep ini. Oleh yang demikian, saya dengan suka hati ingin mengongsikan konsep yang disalahtafsir oleh ramai orang. Kadang-kadang pedas juga telinga saya sebagai seorang warga pendidik bila dikatakan “kamu best.. kerja half day saja. Banyak lagi cuti tu ni. Elaun pun banyak juga”. Jadi, saya mintalah kepada semua agar dapat member perhatian dan membaca dengan teliti apa yang bakal saya tulis ini.
Setiap pegawai kerajaan tertakhluk kepada ‘core business’ ataupun paling senang kita dapat fahami adalah objektif kerja utama. Core business seorang guru adalah untuk mengajar pelajar. Itu adalah kerja utama kami. Sama seperti golongan polis, bomba, doktor, jururawat dan lain-lain lagi, setiap kita ada pelanggan kita masing-masing. Setiap golongan yang bekerja di bawah kerajaan ataupun swasta mempunyai masa untuk bertemu pelanggan, memberi perkhidmatan yang sewajarnya. Seorang doktor misalannya, mempunyai masa untuk melawat dan merawat pesakit. Begitu juga dengan pegawai keselamatan seperti bomba dan polis dan lain-lain lagi. Tapi sebagai seorang pegawai perkhidmatan pendidikan yakni guru, terdapat sedikit perbezaan dari segi praktis perkhidmatannya pelanggannya.
Pengiraan Waktu
Pelanggan utama seorang guru adalah pelajar. Seorang guru tidak berjumpa dengan pelajar secara individu tetapi secara berkumpulan. Mungkin, mungkin seorang jururawat melayani seseorang pesakit dalam tempoh 30 minit, setiap seorang. Ataupaun seorang pembaca meter elektrik rumah menghabiskan masa lebih kurang 15 minit untuk membaca meter untuk satu-satu rumah. Mungkin. Mungkin lebih, mungkin kurang. Itu andaian saya semata-mata tetapi hakikatnya, kita sebagai pegawai perkhidmatan akan memperuntukkan sejumlah masa untuk pelanggan kita. Berbalik kepada guru, setiap pelajar juga diberikan masa untuk menerima perkhidmatan daripada guru. Berapa masa yang diperuntukkan? Untuk satu-satu subjek misalannya Bahasa Inggeris, ada sekolah yang memperuntukkan 30 minit, 35 minit, 40 minit dan 45 minit bergantung kepada kesesuaian dan situasi sekolah. Mari kita kira sama-sama. Kalau kita ada lebih kurang 30 pelajar dalam satu kelas, berapa masa untuk kita peruntukkan untuk satu pelajar? Kita bahagi (saya ambil contoh satu masa adalah 40 minit sebab 40 minit adalah masa yang paling sedikit yang sepatutnya diperuntukkan untuk satu-satu subjek dalam satu masa *bergantung kepada sekolah atas kes-kes khas*. Okay, jadi macam ni. 40 minit dibahagi kepada 30 orang pelajar sama dengan lebih kurang 1 minit 3 saat untuk seseorang pelajar. Masa seorang guru melayani seseorang pelajar adalah 1 minit 3 saat untuk satu-satu masa! Seorang pegawai bank di bahagian kaunter pun memerlukan masa yang lebih untuk membuat transaksi.
Dalam masa seminggu, satu subjek teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Agama Islam ataupun Pendidikan Moral *sekolah menengah dan bergantung kepada jurusan pelajar*, 200 minit seharusnya diperuntukkan untuk guru bersama pelajar di dalam kelas. Dalam satu-satu masa, satu masa untuk satu mata pelajaran akan diajar 40 minit untuk single period dan 80 minit untuk double period. Matematiknya senang sahaja iaitu perkiraan sama seperti di atas. Apa yang saya hendak katakan di sini adalah, pelajar dikumpulkan menjadi satu kumpulan untuk menerima perkhidmatan; 40 minit untuk 30 orang pelajar. Berapa masa yang diperlukan oleh seorang jururawat melayani 30 orang pesakit?
Setiap guru juga mempunyai masa tertentu di dalam jadual, mungkin dalam 20 – 30 masa setiap minggu *bergantung kepada jawatan-jawatan yang dipegang oleh seseorang guru*. 40 minit adalah jumlah minit untuk satu-satu masa dan sekiranya guru mempunyai 27 masa, 40 didarabkan dengan 27 adalah bersamaan dengan 1080 minit setiap minggu! Sedikit? Ingin saya jelaskan, itu adalah masa masa untuk seseorang cikgu bersama pelajar di dalam kelasnya. Di dalam kelas.
Kerja Rumah
Selepas balik dari sekolah dengan membawa buku-buku pelajar, berapa pula tempoh masa yang akan dihabiskan oleh seseorang guru memeriksa buku-buku tersebut? Seseorang guru mungkin mempunya lebih dari 5 kelas untuk di ajar dan setiap kelas itu mempunyai 30 orang pelajar. Buku-buku yang harus disemak? Okay, secara jujur saya katakan, saya pernah meminta pelajar memeriksa sendiri buku mereka sekiranya itu adalah soalan objektif yakni soalan-soalan A, B, C dan D ataupun soalan Ya/Tidak ataupun Betul/Salah. Tapi bagaimana pula dengan soalan esei ataupun soalan subjektif? Tanyalah guru Bahasa Melayu ataupun guru Pendidikan Agama Islam ataupun guru Pendidikan Moral, Sejarah, Geografi dan lain-lain lagi. Kalau mahu mendengar keluhan yang lebih ‘kick’ lagi, tanyalah Guru Bahasa Inggeris! Membawa balik buku-buku pelajar ke rumah dan bersengkang mata memeriksa hampir setiap malam. Salah periksa sedikit, maka datanglah ibu bapa daripada golongan-golongan berpendidikan tinggi, contohnya, memerli kami, menghina kami. Kami terima kerana kami tahu, kami pun boleh melakukan kesilapan. Kami juga manusia.
Aktiviti Kokum
Aktiviti Ko-kurikulum ataupun Kokum adalah wajib untuk setiap pelajar. Aktiviti Kokum terbahagi kepada 3; Unit beruniform seperti Pengakap, PBSM. Unit Sukan dan Permainan seperti Sukan Badminton, Bola Sepak dan Unit Akademik seperti Persatuan Sejarah, Bahasa Melayu. Ada juga sekolah yang mempunyai Persatuan lain seperti Pembimbing Rakan Sebaya, Kelab Pencinta Alam, Kelab Koir dan Kebudayaan dan banyak lagi. Aktiviti Kokum ini tidak boleh dilakukan pada sesi P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) kecuali atas sebab-sebab tertentu. Aktiviti harus dijalankan pada waktu petang untuk sesi pagi dan pada waktu pagi untuk sesi petang. Ada sekolah yang terpaksa menjalankan aktiviti ini pada hujung minggu. Kerja separuh hari? Sehingga ada guru yang sendiri menjadi takut – anak orang dijaga penuh, anak aku?
Kerja Pengkeranian
Keluhan yang sering didengar daripada warga pendidikan adalah bertambahnya kerja-kerja pengkeranian di samping kerja-kerja selaku seorang guru. Kerja-kerja pengkeranian ini termasuklah membuat laporan akademik, membuat pelan strategik, kursus, minit mesyuarat dan lain-lain lagi. Iya, kami mengeluh kerana terdapat seperti pembahagian waktu sehingga kadang-kadang kami tidak dapat menyediakan RPH (Rancangan Pengajaran Harian) yang betul-betul berkesan; Antara menjadi seorang guru yang mengajar dan seorang kerani yang menyediakan dokumentasi untuk semuanya. Tapi kami beradaptasi. Kami terima dan kami masih boleh melakukannya. Kebanyakkan kerja-kerja pengkeranian ini kami buat di rumah, di luar waktu persekolahan. Sekali lagi, kerja separuh hari?
Saya bukannya hendak melaga-lagakan profesion mana yang lebih banyak kerjanya, ataupun yang lebih susahnya. Saya hanya ingin menerangkan bahawa kerja separuh hari bagi seorang cikgu tidak sama seperti kerja separuh hari pekerjaan-pekerjaan yang lainnya. Kita harus memahami bahawa setiap pekerjaan di dunia ini adalah pekerjaan yang memberikan perkhidmatan. Setiap pekerjaan adalah memenatkan. Semua pekerjaan adalah penting. Semua pekerjaan ada peranan masing-masing. Cuma saya bercakap sebagai seorang guru. Yang paling nyata, guru memberikan perkhidmatan kepada pelajar secara padat yakni berjumpa dengan semua pelajar sekaligus. Masa itu dipadatkan akibatnya, bila sesi P&P habis, guru harus memeriksa tahap kefahaman pelajar dengan cara, antaranya, kerja rumah. Memang tidak semua guru itu sempurna ilmunya atau tidak pun layak bergelar seorang cikgu tapi sama juga kes dengan pekerjaan yang lain. Kita juga mempunyai polis yang makan rasuah, pegawai bank yang tidak amanah dan banyak lagi. Saya hanya meminta agar masyarakat dapat lebih memahami pekerjaan seorang guru dan tidak bersikap judgemental tanpa kefahaman yang betul. Sedih juga bila terdengar khabar-khabar yang menyakitkan telinga oleh seorang jururawat yang tidak mendengar dan membaca bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri secara teliti baru-baru ini. Yang paling menakutkan pula apabila ada segolongan pihak yang terus menyokong komen jururawat itu tanpa memeriksa dahulu sahih tidaknya tuduhan itu. Bacalah dulu dan telitikan baik-baik.
Dan cuti panjang? Mungkin pada post yang lain, saya akan bercerita tentang ini. Apa maksud cuti panjang untuk seseorang guru. Mungkin saya silap atas penghuraian saya di atas, mohon diperbetulkan oleh rakan-rakan guru yang lain, tapi ini adalah apa yang saya lalui sebagai seorang guru. Pada satu masa nanti, bila melihat seorang cikgu yang balik kerja pada jam 1 petang ataupun 3 petang, ataupun 6 petang, renung-renungkanlah apa yang sudah warga pendidikan tinggalkan dalam diri kita masing-masing. Salam Kefahaman.
RALAT: 80 minit untuk double period dan bukannya 120 minit (pembetulan telah dilakukan)
© Copyright Anak Jagung
Comments
Iya betul. Saya setuju. Ada banyak lagi kerja luar waktu persekolahan yang kita kena lakukan antaranya adalah kelas tambahan.
Thank you so much. This was just how I viewed it. I know all of us would like to explain and add according to our experience.
Terima kasih atas komen2 yang diberikan. Saya hanya bercakap melalui pengalaman saya sebagai seorang guru dan saya faham ada banyak lagi yang ingin kawan2 guru terutamanya ingin jelaskan.
Ingin saya jelaskan di sini, saya tidak mengatakan profesion lain tidak berdepan cabaran kerja masing-masing. Saya hanya ingin menerangkan ketidakfahaman sesetengah orang yang tidak faham 'kerja setengah hari' seorang cikgu.
Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang memberikan komen.
Terima kasih atas soalan yang diberikan. Untuk response, iya betul, hanya cikgu berpendapat seperti ini kerana hanya cikgu atau individu yang pernah bergelar cikgu yang akan memahami situasi sebenar ini. Oleh yang demikian, saya ingin menerangkan kepada sahabat bukan cikgu agar mereka faham serba sedikit maksud 'kerja setengah hari' para guru.
Mengenai pekerjaan 24 jam sehari, saya tidak nafikan ada yang bekerja 24 sehari terutamanya mereka yang bekerja secara shift. Seperti yang saya katakan dalam posting, "Setiap pekerjaan adalah memenatkan. Semua pekerjaan adalah penting. Semua pekerjaan ada peranan masing-masing. Cuma saya bercakap sebagai seorang guru". Point utama saya di sini adalah menerangkan maksud 'kerja setengah hari' seorang cikgu. Itu sahaja.
sebenarnye boleh je buat recent plan & tanda buku murid kat sekolah sampai pukul 4..tp cikgu2 dpt advantage buat semua tu kat rumah..xde la tensen sangat kan..jangan nk comparekan tugas guru ngan staff lain la..setiap org ade opsyen sendiri sesuai dengan gaji..saya pernah di komplen tidak buat kerja sebab saya duduk baca surat khabar padahal kerja saya sudah habis untuk hari tu..lgpun sy hanya standby mane tahu ade emergency yang kena buat..tp sesuai la dengan gaji saya..xkan la kerja saya nak same dengan gaji yang ribu-ribu raban ni...senang cakap tengok opsyen sendiri la..jangan nk samakan dengan orang lain yang berlainan jawatan dengan kita..
9:47 AM
Dear Anonymous,
Bukan nak samakan atau nak compare untuk tujuan memberitahu siapa yang lebih baik ataupun kerana gaji beribu. Kami selaku guru tidak pernah melihat kerjaya lain sebagai tidak penting ataupun tidak signifikan. Yang saya terangkan di sini adalah konsep 'separuh hari' yang orang lain fikir betul2 separuh hari. Setiap kerja itu adalah memenatkan dan susah. Bukan guru sahaja. Saya tidak juga membandingkan bidang2 tugas sebab memang kita semua mempunyai bidang tugas berlainan. Saya hanya mengambil contoh MASA kenapa seperti kami bekerja separuh hari iaitu kerana pelanggan kami dikumpulkan dan bukan seperti pelanggan pegawai perkhidmatan yang lainnya yang dilayani secara individu ataupun kumpulan-kumpulan kecil. Apa yang saya cuba ungkaikan di sini adalah bila orang lain melihat guru2 seperti kerja separuh hari yang pada hakikatnya, sebenarnya tidak. Itu sahaja.
Dan betul, kami boleh pilih (actually, sedang dipraktikkan) untuk tanda buku dan buat RPH di sekolah. Sangat betul.Itulah kadang2 kami masih di sekolah sampai luar waktu persekolah. sampai jam 4, seperti yang kamu katakan, malah boleh jadi sampai jam 7pm. Terima kasih kerana memahami yang kami tidak bekerja separuh hari tapi dari jam 7 am - 4 pm. Kalau tidak habis juga, barulah kami bawa balik ke rumah.
Cuma saya ingin menambah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pendidik.Jangan salah faham,mmg ada guru yang nampak tenang dan relaks. Pergi sekolah dan balik sekolah. Akan tetapi kebanyakkan guru sangat berdedikasi dan komitmen terhadap tugas yg diberikan. Even tugas itu bukan tugas mereka. Sebagai contoh,guru boleh menjadi tuan inspektor atau detektif. Kes seperti samseng dr luar terjah masuk sekolah,gaduh sesama kumpulan pelajar,berasmara di "PORT2" baik punya di sekolah,pecah masuk asrama perempuan (Kalu sekolah asrama) dll.Kelazimanya guru lah yg akan siasat secara mendalam.
Guru juga boleh Doktor,Bomoh,Jururawat..hahaha..bukan apa,saya pernah suatu ketika sedang mengajar,5 org pelajar perempuan dalam kelas meracau,menjerit2,mulut berbuih..haih..sabo jela.Jadi bomoh n doktor sementara.Itu belum lagi budak2 asrama, saya baru je balik asrama sbb rumah disana,pintu rumah diketuk pelajar. "Cikgu2..Anif jatuh dr siling..kepala darah cikgu...cepat!!" ish ish ish ish..macam2 ragamnya.
Guru juga bisa menjadi tuan driver gitu. Guru koko pun berjumpa kita n tanya "Mat,28hb ni bawak budak golf 2 org ye.".."Menjunjung perintah tuan"..maka jadilah driver.Budak tetiba pengsan,jadilah driver ambulans WIRA 1.5 tu.ahahaha..kalu eksiden,takde insurans pun nak kaver weh. Kalu budak2 tu mati,sape nak dopersalahkan..of coursela GURU..hik hik hik.
Guru juga boleh jadi tukang kayu,maklumlah nak jimatkan duit sekolah gitu. Makanya beli barang sendiri,guru2 la yang buat.Pakai kontraktor mahal ooo.Contohnya bikin siling yg pecah.Al maklum jela,budak2 suka main futsal kat siling.Lawan team tikus n cicak katakan.hehehe...
Guru pun boleh jadi coach tau. Ala setakat training budak bola seawal 6.30 pg ape ade hal,petang pulak sambung jam 3-4.30 5-6.50.Ape ade hal. Bila dah training budak bola,lupa plak nak pantau budak bola tampar..adeshhh..
Tupp...tupp..dan lain-lain lagi. Saya pasti golongan guru yg lain pun ada hujah mereka sendiri.