Sumber: http://ibnurusydi.blogspot.com
Siapakah Sultan Sulu yang sebenarnya?
Berikutan daripada
kejadian di Lahad Datu, wujud banyak persoalan tentang siapakah Sultan
Sulu yang sebenarnya disebabkan terlalu ramai yang mengaku sebagai
Sultan Sulu.. Sumber adalah dipetik daripada http://ibnurusydi.blogspot.com/2009/10/siapa-sultan-sulu-yang-sebenar-bahagian.html dan kesahihannya belum lagi dikenal pasti.
1) Sultan Mawallil Wasit (1936) : Beliau merupakan adik
kepada Sultan Jamalul Kiram II. Empat hari selepas kemangkatan abangnya itu,
beliau telah ditabalkan oleh Rumah Bichara (Kabinet atau Majlis Diraja
Kesultanan Sulu) untuk menggantikan abangnya. Walaubagaimanapun, beliau hanya
sempat menjadi ‘Sultan’ untuk tempoh 6 bulan sahaja sebelum meninggal dunia
secara mengejut akibat diracun dan dikebumikan di Maimbung. Setahun kemudian,
Presiden Filipina, Manuel L. Quezon telah menyatakan melalui Memorandum
bertarikh 20 September 1937 bahawa Kerajaan Filipina tidak akan mengiktiraf
mana-mana lagi pewaris daripada Sultan Jamalul Kiram II (Keluarga Pewaris
Pertama).
2) Sultan Ombra Amilbangsa (1937-1950) : Beliau merupakan
suami kepada Dayang-dayang Hajah Piandao. Dayang-dayang Hajah Piandao ini
merupakan anak kepada Sultan Badaruddin dan anak saudara kepada Sultan Jamalul
Kiram II. Selepas kematian Sultan Mawallil Wasit, Dayang-dayang Hajah Piandao
yang ketika itu bertindak sebagai “Sandah” (pemangku pemerintah), telah
mengarahkan rakyat Sulu supaya mengisytiharkan suaminya dari Tawi-tawi, Datu
Ombra Amilbangsa, sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Amirul Umara II
pada Januari 1937. Datu Ombra ini juga pernah dilantik sebagai Gabenor Sulu. Selepas
Perang Dunia ke-2, Datu Ombra Amilbangsa telah bertanding sebagai Ahli Kongres
Filipina dan memenanginya (Tidakkah bodoh seorang ‘Sultan’ merendahkan
martabatnya dengan menjadi sekadar Ahli Kongres di negara bukan Islam yang
telah menjajah wilayahnya???).
3) Sultan Esmail Kiram I (1950-1974) : Beliau merupakan putera kepada Sultan Mawallil Wasit. Memandangkan Sultan Ombra Amilbangsa bukanlah waris langsung dari Kesultanan Sulu, maka Sultan Esmail Kiram I ini telah disepakati untuk dilantik sebagai Sultan Sulu yang seterusnya di Jolo pada tahun 1950. Pada tahun 1962, beliau telah menyerahkan wilayah Borneo Utara dan kekuasaan Kesultanan Sulu kepada Republik Filipina iaitu ketika era pemerintahan Presiden Diosdado Macapagal. (lihatlah sendiri perangai Sultan seorang ini. Lebih rela menyerahkan ‘wilayahnya’ kepada pemerintahan Kristian berbanding ditadbir oleh saudara seIslam di Malaysia). Beliau meninggal dunia di Jolo pada tahun 1974.
4) Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram (1974-1980) : Beliau
merupakan putera sulung melalui isteri kedua kepada Sultan Esmail Kiram I.
Beliau dilantik sebagai Sultan Sulu selepas kematian Sultan Esmail Kiram I
kerana Datu Pujungan, yang ketika itu merupakan Raja Muda (setaraf Putera
Mahkota), melarikan diri ke Sabah akibat kekacauan yang berlaku di Sulu pada
masa tersebut. Apa yang menariknya, beliau ini dilantik secara langsung oleh
Kerajaan Filipina di Manila yang ketika itu dipimpin oleh Presiden Marcos.
Beliau berdiam di Manila, tinggal di Hotel Aurelio di Mabini, dan menerima
elaun serta ditanggung kewangannya oleh Presiden Marcos (Fikirkanlah
sendiri!!!). Pada tahun 1980, selepas darurat ditamatkan, Raja Muda Punjungan
kembali dari Sabah ke Jolo. Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram yang ketika itu
turut berada di Jolo bersetuju menyerahkan takhtanya kepada pakciknya, Raja
Muda Punjungan sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Punjungan Kiram.
Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram (1974-1980) |
5) Sultan Aliuddin-II (1980-2007) : Nama sebenar beliau
adalah Datu Aliuddin Haddis Pabila bin Datu Syeikh ibni Maharajah Adinda Sultan
Muhammad Aranan Puyo, dan berasal dari Sabah. Ketika era ‘pemerintahan’ Sultan
Muhammad Mahakuttah Kiram, telah berlaku satu peristiwa yang cukup penting.
Para ahli keluarga pewaris Kedua mula memahami sejarah sebenar dan menyedari
hak-hak mereka. Atas jemputan Pehin Dato’ Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri,
keluarga Pewaris Kedua yang diketuai oleh Datu Aliuddin Haddis Pabila telah
meminta pihak Muzium Brunei untuk menjaga Pulau Janggi pada tahun 1978 (Bagi
mengelakkan kepalsuan Pulau Janggi dibuat oleh pihak lain). Pulau Janggi yang
diserahkan telah diperiksa dan disahkan ketulenannya oleh pihak Muzium Brunei.
Pada masa tersebut, beliau telah disahkan sebagai "Pewaris Sultan Sulu
yang sebenar" dan di dalam Surat Penerimaan Pulau Janggi yang dikeluarkan
oleh pihak Muzium Brunei, beliau telah diisytiharkan sebagai "Sultan
Aliuddin-II".
Sultan Aliuddin-II (1980-2007) |
Dengan pertukaran takhta bagi pewaris Keluarga Pertama oleh
Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram kepada Sultan Punjungan Kiram yang bukan
daripada darah di Raja Kesultanan Sulu, maka sahlah permulaan takhta Kesultanan
Sulu dikembalikan kepada keluarga Pewaris Kedua (Maharajah Adinda) melalui
Sultan Aliuddin-II ini. Pada 17 Disember 2004, Majlis Diraja Sulu sekali lagi
telah mengisytiharkan beliau sebagai "Sultan Sulu", namun Majlis
Pertabalan tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan sumber kewangan
sehinggalah beliau wafat pada 30 Jun 2007.
Gambar Datu Sharif Abd Rahman (Kiri), Datu Jainal Ali ibni
Datu Aliuddin (kedua dari kiri), En.Salam (Kedua dari Kanan) dan Datu Aliuddin
Haddis Pabila (Kanan) bersama Pulau Janggi (tengah) sebelum diserahkan ke
Muzium Brunei pada tahun 1978.
6) Datu Ali Kuyung (2007-kini) : Pengerusi Majlis di Raja
Sulu (Pemangku Sultan Sulu buat sementara waktu). Nama sebenar beliau ialah
Datu Muhammidul Ali bin Datu Mahmun bin Datu Halun ibni Maharajah Adinda Sultan
Muhammad Aranan Puyo. Merupakan anak saudara kepada Datu Aliuddin Haddis
Pabila. Biarpun dari segi kekananan generasi, masih terdapat ramai waris lebih
tua yang lebih layak, namun beliau merupakan pewaris yang paling layak untuk
ditabal sebagai Sultan Sulu yang seterusnya jika ditinjau dari segi kekananan
baginda kerana merupakan cicit lelaki sulung kepada isteri pertama Maharajah
Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo. Beliaulah yang meneruskan legasi perjuangan
Keluarga Pewaris Kedua Kesultanan Sulu pada masa kini. Tidak memakai gelaran
‘Sultan’ kerana telah disepakati tiada siapa pun yang berhak mendakwa diri
sendiri sebagai ‘Sultan Sulu’ pada hari ini selagi kesemua waris yang berhak
termasuklah yang telah menabalkan diri masing-masing sebagai Sultan Sulu tidak
duduk semeja untuk berbincang dan menabalkan seorang sahaja yang benar-benar
paling layak dan berhak untuk menjadi Sultan berdasarkan Tartib di Raja Sulu.
Datu Ali Kuyung |
Y.M. Datu Ali Kuyung
Sejarah telah tercipta apabila beliau telah berjaya
menyatukan Keluarga Pewaris Pertama dengan Keluarga Pewaris Kedua iaitu melalui
anakanda Sultan Muhammad Mahakutta Kiram, iaitu Raja Muda Muedzullail Kiram.
Telah disepakati bahawa kedua-dua pewaris Kesultanan Sulu ini tidak akan
membuat tuntutan terhadap Sabah, yang akan hanya menguntungkan mainan politik
Filipina semata-mata. Kini, masa sahaja yang akan menentukan apakah pengakhiran
kepada episod tuntutan tahkta Kesultanan Sulu ini. Namun apa yang pasti, jika
beliau berjaya memerdekakan kembali Kesultanan Sulu Darul Jambangan (bukannya
sibuk menuntut Sabah dan elaun wang pajakan sebagaimana sesetengah individu
yang mendakwa diri sendiri sebagai ‘Sultan Sulu’), tiada keraguan lagi
beliaulah yang akan ditabalkan secara rasmi kelak sebagai Sultan Sulu.
Datu Ali Kuyung (waris Maharajah Adinda) di sebelah kiri dan
Raja Muda Muedzullail Kiram (waris Kiram) di sebelah kanan berjabat tangan
selepas menandatangani Perjanjian Penyatuan keluarga pewaris Di Raja Sulu.
Kini kita lihat pula sekali lalu mengenai senarai Sultan
Sulu yang terdiri daripada penyamar dan waris yang tidak berhak :
1) Sultan Rodinood Kiram : Dia ‘menyambung’ perjuangan
ayahnya iaitu Sultan Julaspi Kiram, yang mendakwa sebagai satu-satunya zuriat
tunggal kepada Sultan Jamalul Kiram II dan berhak ke atas takhta Sultan Sulu.
Namun, berdasarkan kepada maklumat daripada pesaing-pesaing 'Sultan Sulu' yang
lain di Filipina, Julaspi ini adalah anak kepada Hadjirul, salah seorang
pengawal (bodyguard) kepada Sultan Jamalul Kiram II, yang telah jatuh cinta
dengan isteri muda Sultan Sulu tersebut. Sultan Sulu tidak menjatuhkan hukuman
bunuh sebaliknya memberi pengampunan tetapi mereka berdua dibuang ke
Pangutaran. Dari hubungan Hadjirul dan isteri muda Sultan Sulu inilah lahirnya
Julaspi, yang kemudiannya menuntut takhta Sultan Sulu. Selepas kematian Julaspi
di Kampung Maharlika, Taguig, pada tahun 1998, anak sulungnya, Rodinood,
meneruskan tuntutan terhadap takhta Kesultanan Sulu. Inilah sebenarnya individu
yang sibuk menjual “pingat dan Darjah Kebesaran Sultan Sulu yang membawa
gelaran Datuk” di negara kita!!!
2) Sultan Esmail Kiram II dan Sultan Jamalul Kiram III :
Kedua-dua mereka ini adalah adik beradik dan anak kepada Sultan Punjungan
Kiram. Dikatakan Punjungan ini merupakan anak kepada Sultan Mawallil Wasit.
Realiti yang sebenarnya adalah nenek mereka dari Pulau Simunul, Tawi-Tawai,
yang bernama Mora Napsa Laga, telah dirampas untuk dijadikan isteri oleh Sultan
Mawallil Wasit dalam keadaan telah pun mengandungkan zuriat suaminya yang
sebenar, seorang Imam bernama Amil Hamja! Justeru itu, Punjungan ini sebenarnya
hanyalah anak tiri kepada Sultan Mawallil Wasit. Selepas kematian Sultan
Punjungan Kiram pada tahun 1983, anak sulungnya iaitu Raja Muda Jamalul Kiram
III telah ditabalkan oleh para penyokongnya sebagai Sultan Sulu.
Walaubagaimanapun, kerana dia tinggal di Manila dan enggan berdiam di Jolo,
bertentangan dengan adat Sulu, maka adiknya, Raja Muda Esmail Kiram II kemudian
telah dilantik sebagai Sultan pada tahun 2001. Sultan Jamalul Kiram III ini
pernah bertanding dalam pilihanraya negara Filipina. Sementara Sultan Esmail
Kiram II inilah ‘Sultan Sulu’ yang pernah mengancam untuk melancarkan ‘Perang
Jihad’ kepada Malaysia pada tahun 1993 dan 2001 jika Sabah tidak diserahkan
kepadanya. Atau sebagai balasannya, bayar sahaja ganti rugi sebanyak USD 10
Bilion kepadanya. (Dapat baca niat sebenar mereka ini???)
3) Sultan Muhammad Fuad Abdulla Kiram : Dia ini tak lebih
sekadar salah satu boneka atau lebih tepat lagi anjing suruhan yang digunakan
oleh Pemerintah Filipina untuk menuntut Sabah dari Malaysia. Dia merupakan adik
kepada Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram. Jika benar takta Kesultanan Sulu masih
mahu diwariskan kepada keluarga Pewaris Pertama (Kiram), maka sewajarnya takhta
tersebut diserahkan kepada Raja Muda Muedzullail Kiram yang merupakan anak lelaki
sulung kepada Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram. Tambahan pula, masa yang
terlalu lama diambil iaitu hanya pada tahun 2006 untuk mengangkat dirinya
sendiri sebagai Sultan Sulu. Sangat suka mengutuk Malaysia yang dianggapnya
bersikap kejam dan tidak berlaku adil kerana ‘merampas’ Sabah. Tetapi apa yang
peliknya, kata-kata dia sangat lunak apabila menyentuh mengenai hal Kerajaan
Filipina yang jelas telah menghapuskan kuasa Kesultanan Sulu yang ingin
dipegangnya sendiri, malahan sanggup mempertahankan Filipina dan mencerca
Malaysia yang lebih bertanggungjawab membela para rakyat Sulu yang datang ke
Sabah. Kedangkalan dan kejahilan dia mengenai sejarah dan Tartib (Protokol)
Kesultanan Sulu terserlah apabila tidak mengetahui dan menafikan kewujudan dan
peranan Pewaris Kedua Kesultanan Sulu.
4) Sultan Syarif Ibrahim Ajibul Pulalun : Dia ini adalah
contoh klasik kepada individu-individu yang langsung tiada kaitan tetapi nak
juga menyibuk mendakwa sebagai Sultan Sulu. Dia telah menabalkan dirinya
sebagai Sultan Sulu dan Borneo Utara pada 20 November 2005 di Grand Astoria
Hotel, Mayor Jordan St. Zamboanga City, Filipina, dan menggunakan nama Sultan
Syarif Ibrahim Ajibul Mohammad Pulalun Kabayan Manjanay Syarif Abu Bakar.
Sebenarnya, datuk kepada dia ni hanyalah seorang Syarif yang pekerjaannya
adalah menempa senjata seperti barung (parang) di daerah Parang, Sulu. Datuk
dia sangat terkenal dan menurut penduduk tempatan, datuknya adalah orang
“keramat” yang mudah mengenakan “tulah” kepada sesiapa yang bertindak menganiayai
beliau. Namun begitu, datuknya ini bukanlah berketurunan Raja Sulu. Kebetulan
sahaja nama datuknya ialah Syarif Pulalun, yang hampir sama dengan nama salah
seorang Sultan Sulu, iaitu Sultan Muhamad Pulalun. Hanya disebabkan itu, dia
telah mengambil kesempatan dengan mendakwa datuknya itu adalah Sultan Muhammad
Pulalun, lalu mengangkat dirinya sendiri menjadi Sultan Sulu. Latarbelakangnya
telah didedahkan sendiri oleh penduduk-penduduk di sekitar daerah Parang yang
sangat mengenali semua anggota keluarganya termasuk datuknya itu. Akibatnya,
kini tiada seorang pun penduduk daerah itu yang mengiktiraf beliau sebagai
Sultan Sulu. Bagaimanapun, sebelum itu, dia telah berjaya menipu ramai pihak
termasuklah Kerajaan Filipina sendiri dan memperdaya wakil kerabat di Raja
British iaitu Sir Stanley Brandenburg.
5) Sultan Bantilan Muizzudin II : Nama sebenar beliau ialah
Datu Ladjamura bin Datu Wasik. Asalnya beliau dihantar ke Sulu oleh Majlis Di
Raja Sulu sebagai wakil jurucakap kepada keluarga Pewaris Kedua untuk
memberikan penerangan kepada rakyat Sulu mengenai kewujudan Pewaris Kedua dan
hak untuk menghidupkan semula Kesultanan Sulu daripada penindasan dan mainan
Kerajaan Filipina. Walaubagaimanapun, beliau akhirnya bekerjasama dengan United
Tausug Citizen (UTC) sebelum diangkat oleh organisasi tersebut sebagai Sultan
Sulu dengan gelaran Sultan Bantilan Muizzudin II. Tindakan ini sangat
mengejutkan dan mengecewakan seluruh ahli keluarga Pewaris Kedua. Justeru itu,
tiada siapapun daripada kalangan keluarga Maharajah Adinda yang menyokong
perlantikannya. Sebagai maklumat tambahan, UTC inilah dalang yang telah
mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan Sijil Kelahiran Kesultanan Sulu di
Sabah satu ketika dahulu.
Surat
Perjanjian dan Perlantikan oleh Y.M. Raja Bongsu II kepada Datu
Ladjamura sebagai wakil penerangan Keluarga Maharajah Adinda
6) Sultan Aidal Aliuddin : Dia sebenarnya hanya merupakan
anak angkat kepada Datu Aliuddin Haddis Pabila. Mengikut salah seorang waris
keluarga Maharajah Adinda iaitu Datu Ali Aman, pada suatu ketika dahulu, rumah
kediaman Datu Aidal yang terletak berhampiran dengan rumah beliau di Kampung
Likas telah terbakar sehingga ranap pada tahun 70-an. Beliau yang ketika itu
tidak mempunyai sebarang keterangan diri telah datang kepada Datu Aliuddin dan
merayu untuk mengambilnya sebagai anak angkat dan seterusnya memudahkan beliau
mendapat pampasan bagi rumahnya yang terbakar itu serta memudahkannya mendapat
kerakyatan di negara ini,
Pada tahun 1980-an, Datu Aliuddin telah menuntut haknya
sebagai pewaris kesultanan Sulu dan telah menghantar Pulau Janggi (Sepong Janggi),
Cop Mohor dan bukti-bukti lain ke Muzium Negara Brunei. Perjuangan beliau ini
telah heboh sehingga sampai ke telinga Datu Aidal dan beliau pula dengan rasa
bangga teringin nak menuntut hak itu dengan menunjukkan Pulau Janggih yang
kononnya di hantar ke muzium Brunei itu akan tetapi Pulau Janggi nya itu
bukanlah yang asal kerana bentuknya yang ganjil dan tidak menyerupai Pulau
Janggi yang asli (bentuknya seperti buah jambu batu). Hari demi hari dia menipu
dan terus menipu rakyat Sulu dan Rakyat Malaysia dengan menjual "Identity
Card" dengan harga yang tinggi semata-mata untuk kepentingan beliau
sendiri hingga mencemarkan nama baik Kesultanan Sulu.
Disamping itu, semasa perlantikannya sebagai Sultan, seorang
ahli perniagaan (namanya dirahsiakan) di Sulu telah muflis akibat penipuannya
yang telah menghutang 5 ekor lembu ternakan yang kononnya di jadikan santapan
untuk tetamu yang hadir dan yang lebih memalukan lagi ahli perniagaan tersebut
telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran dari hutang lapuk Datu Aidal.
Selepas Pelantikannya sebagai Sultan yang tidak berdaulat itu, beliau telah
lari ke Sabah untuk melindungi dirinya dari terus diburu akibat penipuannya
sendiri. Penipuan beliau terbongkar apabila seorang penduduk(namanya
dirahsiakan) dari kampung beliau telah mendedahkan semua butir-butir diri Datu
Aidal termasuk ayahnya yang sebenar bernama Wahiddun dan ibunya bernama Milling
yang tinggal di Tawi-tawi, Sulu.
7) Sultan Ibrahim Bahjin
Dia ini adalah dari Keluarga Shakiraullah, namun hanya
berpangkat "Anak Saudara" kepada waris Sultan dari Keluarga
Shakiraullah iaitu Sultan Agimuddin Abirin @ Sultan Pitico ibni Sultan Jamalul
Abirin ibni Sultan Zainal Abirin. Ironinya, anak-anak kepada Sultan Agimuddin
Abirin ini tiada yang tampil membuat tuntutan ke atas takhta kesultanan Sulu.
Agak menggelikan hati apabila Dr. Ibrahim Bahjin ini menggunapakai gelaran
"Paramount Ruler". Mungkin ingin mengangkat dirinya sendiri melebihi
penuntut-penuntut takhta yang lain.
8. Sultan Mudarasulail Kiram : Dia telah mendapat liputan di
dada-dada akhbar tempatan pada tahun lepas selepas memohon dana daripada umum
sebanyak RM5 Juta bagi membangunkan semula Istana darul Jambangan bagi
Kesultanan Sulu. Walaubagaimanapun, menurut seorang kerabat Kesultanan Sulu
daripada waris kedua iaitu Datu Muhammad Al-Fazhir, namanya sebenar individu
ini ialah Faisal bin Hassan yang berasal daripada Tawi-Tawi, dan merupakan anak
seorang pelarian yang membesar di penempatan UNHCR di Kampung Kinarut, Sabah.
Dia pernah menyamar sebagai Rajamuda Datu Muedzullail Kiram dengan berlakon
kononnya dia telah di hantar oleh ayahnya iaitu Sultan Muhammad Mahakuttah
Kiram ke Sabah semasa Sulu berada dalam keadaan darurat akibat perang.
Walaubagaimanapun, penipuan tersebut telah terbongkar apabila Rajamuda Datu
Muedzullail Kiram sendiri telah tampil untuk berjumpa dengan pewaris-pewaris
Kesultanan Sulu yang lain dan menjelaskan hal yang sebenar. Mungkin kerana
malu, dia telah menukar namanya kepada Datu Mudarasulail Kiram dan seterusnya
mendakwa sebagai waris yang berhak kepada takhta Kesultanan Sulu.
9. Sultan Shariful Hashim II : Dia adalah individu terbaru
yang ditabalkan sebagai Sultan Sulu. Nama sebenarnya ialah Datu Mohd Akjan dia
telah di’tabal’kan oleh Datu Albi Ahmad Julkernain dan sebilangan bekas
pemimpin United Tausug Citizen (UTC) yang kini telah pun berpecah belah, tetapi
dia kemudiannya menyatakan majlis tersebut sebenarnya adalah sebuah kenduri
kesyukuran. Menurut kenyataan yang diberikan oleh Datuk Eric Enchin Majimbun di
Parlimen, Datu Mohd Akjan telah dibawa oleh bapa saudaranya, Hashirin Sumabud
ke Kem Sibaud di Sandakan atas alasan keselamatan pada 11 November 1962 dan
kemudiannya menjadi warganegara Malaysia. Dia adalah bekas tahanan ISA kerana
dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran Kad
Pengenalan palsu.
Agak menghairankan apabila ayah Datu Mohd Akjan dikatakan
bernama Sultan Sharif Ali Mohd Pulalun, kerana jika dirujuk dalam sejarah
Kesultanan Sulu, cuma tercatat nama "Sultan Sharif Ali @ Sultan Barkat
Ali" yang dianggap nenek-moyang kepada Keluarga Diraja Sulu & Brunei
yang juga merupakan Sultan Brunei ke-3 yang memerintah sekitar 1400 -1424. Nama
"Sultan Muhammad Pulalun @ Mohd. Fadl" pula memerintah Kesultanan
Sulu pada tahun 1842-1862. Maka mustahil Sultan-sultan tersebut adalah ayah kepada
Datu Akjan.
Kenyataan Datu Albi Ahmad Julkernain yang menyatakan Datu
Akjan adalah "Direct-Descendent" kepada Sultan Shariful Hashim
(Sultan Sulu Pertama) juga agak menghairankan dan mengelirukan. Mengikut fakta
sejarah Kesultanan Sulu, jalur-terus keturunan Sultan Shariful-Hashim (Sultan
Sulu Pertama) hanya sehingga Sultan Betarashah Tengah @ Panguilan Tindig ibni
Sultan Pangiran Buddiman Ul-Halim. Dan dengan kemangkatan Sultan Betarashah
Tengah yang tiada "Waris Lelaki", maka akhirnya anak buahnya yang
bernama Pangiran Shahbandar Maharajalela @ Raja Bongsu ibni Sultan Muhammad
Hassan di Brunei, telah ditawarkan untuk menaiki takhta kesultanan Sulu, yang
kemudianya menjadi Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Mawalil-Wasit-I @ Raja
Bongsu.
Rujukan :
1) Asreemoro (2007) “Tausug & Kesultanan Sulu” Penerbit
Saba
2) Nik Anuar Nik Mahmud (2009) “Tuntutan Filipina ke atas
Borneo Utara (Cetakan Kedua)” Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
3) Y.M. Datu Ali Aman @ Raja Muda Bongsu II ibni almarhum
Sultan Aliuddin II
4) Julasri bin Hajan (Asreemoro) :
http://tausug-global.blogspot.com/
5) Y.M. Datu Fazhir bin Datu Ali Kuyung :
http://datufazhir-p2.blogspot.com
Sumber ini bukanlah atas analisa sendiri tetapi dipetik daripada blog http://ibnurusydi.blogspot.com melalui http://greatbosing.blogspot.com/
Persoalannya sekarang adalah, apakah motif sebenarnya tuntutan mereka?
AnakJagung: A good read but I do not own this.
Comments