Apa yang aku rasa ketika ini adalah rasa bersalah dan sakit hati yang sangat-sangat sukar untuk aku luahkan pada sesiapapun. Bila berhadapan dengan situasi yang sebegini, aku menjadi takut menghadapi masa depan yang aku sendiri pun tidak tahu apa-apa kemungkinannya. Aku tidak minta semua ini berlaku dan selama ini aku fikir aku kuat untuk tidak jatuh kepada godaan dunia. Aku selalunya kuat dan tetap dengan pendirianku. Selalu berfikiran rasional dan tidak kalah pada keadaan. Tapi apa yang terjadi pada ketika ini terlalu sukar untuk aku perjelaskan pada sesiapapun. Aku rasa bersalah pada keadaan, pada situasi, orang-orang di sekelilingku dan terutamanya pada diri dan pendirianku.
Aku mengharapkan bisikannya ada di telingaku. Aku berharap adanya dia di sisiku, atau sekurang-kurangnya mendapat sms daripada dia. Aku terlalu merinduinya, terlalu ingin bersama-samanya, terlalu mengharap perkataan sayang daripadanya kerana aku sudah mula menyayanginya.
Di sebalik perasaan indah yang aku alami ini sebenarnya adalah satu kepalsuan yang sukar aku terima. Beberapa kali dia cuba untuk menyatakan bahawa dia suka dan sayang padaku tapi kenapa aku berasa yang itu hanya ada di mulutnya dan bukan pada perlakuan dan hatinya. Sekali fikir, mungkin dia ambil berat, mungkin dia ada perasaan yang sama seperti perasaan apa yang aku alami ini tapi bila aku merenungnya kembali, aku berasa kosong dan tidak dipenuhi. Apa semua ini?! Kenapa aku harus berasa seperti sebuah padang permainan yang hanya menjadi gelangang pertarungan yang tidak pasti. Aku mahu menangis, mengalirkan airmata, meratapi apa yang aku sedang alami namun aku tahu aku mesti kuat kerana apa yang aku alami adalah sementara dan permainan dunia semata-mata.
Pada masa ini, exam ada di hadapanku. Satu tanda pencapaian yang akan menilai sejauh mana prestasiku sebagai seorang pelajar. Tapi aku juga adalah seorang manusia yang tidak lari daripada menghadapi masalah perasaan yang bagi sesetengah orang satu perkara yang remeh. Aku takut pada diriku sendiri.. aku sudah mula menyayangi orang itu........
Comments