Atama – My Tribal Roots: Satu Revolusi Musik Tempatan Sabah.

"Tune Into Sound of Borneo, The Rise of The Ethnic Beat". Sesuai dengan pernyataan di atas cover CD album sulung Atama atau nama sebenarnya Andrew Ambrose Mudi, begitulah muziknya yang beralunan segar dan baru di halwa pendengar yang klise terhadap muzik-muzik tempatan Sabah. Album sulung berkonsepkan tribal hip-hop daripada Atama yang bertajuk "My Tribal Roots" memuatkan 12 buah lagu tidak termasuk 7 Interlude yang turut menambahkan kelainan terhadap album ini. Kali pertama saya mendengar lagu daripada Atama bertajuk "Throw Your Hands In The Air", saya sudah mengetahui bahawa lagu ini pasti mendapat perhatian ramai khususnya pencinta muzik negeri Sabah: seperti saya. Saya terpukau dengan susunan muzik dan alunan melodi yang begitu baru dalam genre muzik karya anak tempatan Sabah. Bukan sahaja ianya mendapat tempat di kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah, tetapi juga turut mendapat perhatian beberapa pihak di Semenanjung Malaysia termasuk Sarawak. Kali pertama saya melihat beliau membuat live show di Tanjung Aru Square, saya agak terpegun dan kedatangannya buat pertama kalinya ke UMS sempena sambutan "Tadau Kaamatan" anjuran exco kebudayaan PMUMS baru-baru ini turut mendapat perhatian ramai.

Sebelum saya meneruskan ulasan peribadi saya terhadap album ini, mungkin adalah lebih selesa jika saya menerangkan maksud tajuk album Atama ini iaitu My Tribal Roots. Tribal berasal dari perkataan Inggeris iaitu Tribe. Tribe, menurut kamus Cambridge Advance Leaner’s Dictionary (2003) adalah a group of people, often of related families, who live together, sharing the same language, culture and history, especially those who do not live in towns or cities. Dalam perkataan yang lebih mudah, tribe bermaksud kumpulan penduduk yang selalunya daripada sesama keluarga yang berkongsi bahasa, budaya dan sejarah yang hidup bersama. Roots pula, dalam kamus yang sama, bermaksud the part of a plant which grows down into the earth to obtain water and food and which holds the plant firm in the ground. Dalam perkataan lainnya, root sebenarnya bermaksud akar dalam Bahasa Melayu. Kesimpulannya, My Tribal Roots bolehlah difahami sebagai permulaan kepada muzik bersifat tribal atau bersifat keetnikkan. Akar itu melambangkan permulaan kepada kehidupan dan tribal itu tidak lain tidak bukan adalah kumpulan yang telah hidup dengan mempunyai persamaan, hampir daripada semua segi. Dalam konteks ini, kumpulan itu sebenarnya adalah kaum DusunKadazanMurut.

Secara keselurannya, saya sememangnya sangat tertarik dengan album ini. 8 lagu yang pertama didahului dengan interlude yang berupakan perbualan antara seorang anak yang meminta ayahnya menceritakan ‘bed time story’ sebelum anak itu tidur. Interlude ini bagi saya adalah sesuatu yang baru dan unik dan menjadi pelengkap kepada pengenalan muzik tribal hip-hop dalam album ini. Cuma mungkin, sedikit kekurangan iaitu seolah-olah anak itu berbicara dengan dirinya sendiri kerana seperti tiada chesmistry yang lengkap antara kedua ayah dan anaknya itu. Anak itu seolah-olah bercakap sendiri apabila ayahnya tidak dapat menunjukkan mood antara ayah dan anak lelaki di dalam ketujuh-tujuh interlude tersebut. Mungkin mixingnya perlu diperhaluskan dan diteliti agar mood kekeluargaan itu lebih dapat dirasai oleh pendengar. Loghat Atama dalam Bahasa Inggeris juga kedengaran sangat ‘keras’ namun saya langsung tidak menyalahkan Atama kerana secara originalnya, begitulah loghat berbahasa orang putih di Sabah!

12 lagu yang dimuatkan di dalam album ini bagi saya seharusnya diberi two thumbs up. Ianya membuktikan bahawa anak tempatan Sabah juga mampu berkarya sesuatu yang baru dan up-to-date. Saya sendiri dapat merasakan betapa banyak pergorbanan masa, tenaga dan tentunya pembiayaan terhadap pembikinan album ini. Betapa perahan idea yang begitu teliti dibuat dan direalisasikan melalui album ini. Antara 12 lagu termasuk 2 lagu yang telah diremixkan kembali, lagu yang dimuatkan dalam album ini, secara peribadi, track 4, 6, 10, 11 dan juga 16.

Track 4 adalah lagu yang paling meletup sekali. Lagu ini dapat didengar di hampir semua tempat terutamanya di kelab-kelab malam, pusat membeli-belah dan juga Stadium Likas! Throw Your Hands In The Air mengambil kembali korus lagu Tarangang Rasuk yang telah dipopularkan oleh John Gaisah, yang juga merupakan bapa saudara kepada Atama. Kembali diremixkan dalam track yang ke-17, lagu ini sememangnya sangat menarik perhatian.
Walaupun track ke-4 adalah track yang paling meletup sekali, secara peribadi, saya lebih selesa dengan track yang ke-6, Can’t Stop The Sumazau. Saya tertarik dengan muzik tradisional yang telah dimainkan menggunakan keyboard yang merupakan pukulan muzik gong tarian Sumazau yang mungkin tidak ramai orang yang perasan akan kewujudannya dalam lagu ini. Lagu ini juga turut dilengkapkan dengan kehadiran Johnny Black atau kalau boleh saya menyebut nama sebenarnya di sini iaitu saudara Constertine Athony yang merupakan seorang DJ-Mix yang sungguh berbakat dan juga pengenalan kepada penyanyi suara latar, Pipi.
Track 10 pula, Guangku Mangkakada, adalah sebuah lagu berbahasa Murut. Ianya adalah sebuah lagu yang sedih. Sebenarnya lagu ini dipopularkan oleh Johntan Ising, iaitu penyanyi asal lagu ini. Turut memperkenalkan Shameer, lagu ini telah diremixkan berkonsepkan ‘Body Bumpin’ yang sedikit menganggu originaliti lagu ini, namun pujian tetap harus diberikan kerana, walaupun ianya telah diremixkan, namun dalam beberapa sudut, keberkesanan lagu masih tetap dapat dirasai.
Track 11 pula bertajuk Ika Noh Butia. Lagu ini mengilap bakat nyanyian graduan Universiti Malaysia Sabah, saudari AmberRose (maaf, nama sebenarnya harus dirahsiakan). Lebih merupakan lagu berupa nasihat kepada gadis remaja Dusun khasnya, lagu ini sememangnya mempunyai kekuatan sendiri.
Track 16 pula adalah hasil gadingan suara Atama sendiri dengan bekas Top 12 Malaysian Idol yang berasal dari Sabah. Kredit seharusnya diberikan kepada Rydee kerana beliau sekali lagi berjaya membuktikan bahawa beliau layak bergelar Top 12 MI kerana berjaya membawa lagu berbahasa Dusun. Saya difahamkan bahawa Rydee adalah seorang Melayu! Lagu I’m Leaving You sekali lagi mengangkat kekreatifan Atama.

Kalau dibawa lebih jauh lagi, saya berkeyakinan album ini akan mendapat perhatian ramai. Sebagai buktinya, sahabat-sahabat rapat yang berasal dari Semenanjung juga meminati lagu-lagu dalam album ini terutama lagu Throw Your Hands In The Air yang telah diremixkan. Walapuna album ini mendapat kritikan hebat, namun kemunculan My Tribal Roots sememangnya menjadi benchmark kepada album-album tempatan yang lain, tidak kiralah dalam konsep apapun. Ianya merupakan satu pembaharuan yang berani dalam memartabatkan muzik tempatan Sabah sekaligus membuktikan orang kita mampu berkarya setanding dengan pengkarya yang terdahulu. Oleh yang demikian, wajarlah kita menyokong industri tempatan muzik kita kerana kita adalah Sabahans! Sungguh, Atama bakal mewarnakan industri muzik kita...

My Tribal Roots: Tune Into Sound of Borneo, The Rise of The Ethnic Beat – Atama
1. Interlude 1
2. Pangazou – Headhunt Raider
3. Interlude 2
4. Throw Your Hands In The Air
5. Interlude 3
6. Can’t Stop The Sumazau
7. Interlude 4
8. Saputangan Keningau
9. Interlude 5
10. Guangku Mangkakada
11. Interlude 6
12. Ika Noh Butia
13. Interlude 7
14. Spend Time With Me
15. Final Interlude
16. I’m Leaving You
17. Throw Your Hands In The Air (Club Mix)
18. Can’t Stop The Sumazau (Rockin Mix)
19. Taragang Rasuk " She Just Teasin" (Remix)

Comments