KEJAYAAN Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London telah diabadikan dalam bentuk vcd yang diterbitkan oleh penganjur konsert, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Putrade Property Management Sdn.Bhd. VCD tersebut mula berada dipasaran pada 10 Oktober 2005 dan diedarkan oleh Suria Records Sdn.Bhd.

Terdapat 2 vcd konsert dan 1 vcd `Di Belakang Tabir' sebagai bonus kepada peminat yang bukan sahaja dapat menonton persembahan Siti malah dapat melihat perjalanan dan aktiviti Siti sewaktu berada di London.

Pada konsert yang berlangsung pada 1 April 2005, Siti Nurhaliza menyampaikan lebih 30 buah lagu termasuk lagu-lagu yang dinyanyikan secara medley. Apa yang menarik, kesemua lagu diberi susunan muzik baru yang berbeza dengan susunan muzik asal dalam album Siti sebelum ini. Walaupun pada konsert sebenar Siti mengadakan persembahan hampir 3 jam tetapi penerbit terpaksa menyunting persembahan tersebut menjadi 2 jam 30 minit sahaja. Suntingan hanya dibuat pada segmen interaksi Siti sahaja tetapi keseluruhan persembahan dipaparkan dalam vcd tersebut.Selain menyampaikan lagu-lagu popular dari albumnya, vcd ini juga memuatkan segmen yang cukup menarik iaitu nyanyian lagu-lagu rakyat seperti Patendu Patende, Ayo Mama dan Embun Sosek. Lagu ini memang dipilih khas untuk dipentaskan di Royal Albert Hall.Terdapat 4 segmen dalam vcd tersebut iaitu segmen pembukaan dan segmen tradisional dalam vcd 1 dan segmen bersama London Symphony Orchestra serta segmen lagu-lagu popular (penutup) dalam vcd 2.VCD ke 3 iaitu `Di Belakang Tabir' pula memaparkan kisah Siti dari hari pertama menjejakkan kaki di London sehinggalah kepada detik terakhir beliau mahu mengadakan persembahan. Selain itu gelagat semua pihak yang terlibat dalam produksi konsert tersebut juga dipaparkan. VCD tersebut dijual dengan harga RM29.90.

Oleh kerana penerbitan vcd hanya dapat menampung durasi 2 jam 30 minit, pihak penerbit turut bercadang untuk mengeluarkan dvd dalam waktu yang terdekat ini namun pengeluarannya adalah terhad dan eksklusif.Bagi Siti, pengeluaran vcd ini adalah satu hadiah kepada para peminatnya yang tidak berkesempatan untuk menonton persembahannya di London tempohari. Beliau juga mahu setiap seorang daripada peminatnya mendapatkan vcd tersebut yang original kerana konsert tersebut mempunyai nilai yang tersendiri dalam sejarah karier seninya.

Taken from www.era.fm

Comments