Risiko Pada Usia Muda? - Bahagian II

Kardiovaskular

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan 171 juta penduduk dunia menghidap diabetes pada tahun 2000, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030, dengan jumlah terbesar dijangka datang dari benua Asia dan Afrika.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman turut menekankan bagaimana peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat mendadak dari 6.3 peratus pada 1980-an dan sekitar lapan peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

“Diabetes sudah lama wujud dan ramai di antara pesakit IJN sendiri menghidapinya. Diabetes merupakan antara faktor risiko kuat untuk pesakit menghidap penyakit koronari kelak.

“Perubahan pada salur darah pesakit juga boleh dikesan seawal 15 tahun sebelum disahkan menghidap diabetes. Ini jauh lebih awal dari apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, antara masalah utama yang dihadapi di kalangan pesakit diabetes kini adalah keperluan mengambil bermacam jenis ubat setiap hari (untuk diabetes) sedang mereka turut menghidap penyakit lain yang juga memerlukan pengambilan ubat.

Dr. Azhari menegaskan jika sesuatu penyakit melibatkan pembuluh darah, ia akan menyebabkan kerosakan menyeluruh kepada seluruh badan.

“Salur darah terdapat di seluruh badan terutamanya di jantung dan otak yang boleh membawa kepada serangan jantung dan juga strok (bekalan darah ke otak tergendala), dan kalau lebih malang, kedua-duanya sekali.

“Pembedahan atau rawatan angioplasti juga rumit atau mungkin tidak boleh dilakukan jika pembuluh darah rosak teruk atau menjadi sempit akibat diabetes,” ujarnya.

Jelas beliau, memandangkan kerosakan sudah lama berlaku (seawal 15 tahun awal), gejala tertentu mungkin timbul sebelum pesakit dikesan menghidap diabetes.

Tambahnya, mati pucuk menjadi contoh gejala awal diabetes (atau masalah jantung) akibat kerosakan salur darah halus (mirovaskular) di dalam zakar.

Oleh itu, amatlah ditekankan pentingnya usaha pencegahan diabetes, terutamanya pada usia muda, melalui penjagaan gaya hidup sihat atau rawatan tertentu untuk mengelakkan diabetes di samping pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti mereka yang berisiko menghidap tinggi.

Dr. Azhari turut mendedahkan purata umur serangan jantung di Malaysia kini ialah 57 tahun berbanding 66 tahun di Barat.

“Pesakit serangan jantung paling muda yang pernah dirawat di negara ini berumur hanya 19 tahun.

“Bukannya semua pesakit jantung menghidap diabetes tetapi digalakkan pesakit untuk mengetahui bahawa risiko diabetes boleh membawa kepada komplikasi buah pinggang, mata dan juga serangan jantung,” jelasnya.

Tambahnya, pesakit diabetes yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung juga menghadapi risiko salur darah kembali tersumbat dengan lebih pantas.

Di IJN, kebanyakan kes diabetes melibatkan jenis kedua di mana insulin tidak dihasilkan dengan cukup di dalam badan.

Dr. Azhari menjelaskan, untuk jenis kedua ini, ubat-ubat pil diberikan dahulu bagi mengurangkan tahap gula darah dan juga bebanan keperluan insulin badan.

“Jika gagal dikawal juga, pesakit mungkin perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah.

“Bagi kes teruk, doktor mungkin terus menggunakan suntikan insulin, atau mengikut pandangan doktor bergantung kepada usia dan keperluan individu pesakit,” jelasnya.

Menurut beliau, pesakit juga perlu mengurangkan berat badan, sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan asal, atau lebih baik jika mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Mengelakkan komplikasi

Dalam usaha mengawal komplikasi diabetes, terutamanya masalah kardiovaskular, Dr. Azhari memaklumkan kejayaan IJN membentuk klinik diabetes sendiri untuk membantu memberi nasihat dan penerangan kepada pesakit.

“Dikendalikan bersama jururawat dan paramedik terlatih yang bergabung dengan doktor pakar diabetes, ahli farmasi dan pakar pemakanan, klinik ini dapat membantu pesakit dalam penjagaan komplikasi dan suntikan insulin.

“Pengurusan masalah diabetes di klinik ini juga membantu meringankan beban klinik lain di samping memberi ruang untuk pesakit bertanya sebarang keraguan yang tidak sempat dijawab doktor,” ujarnya.

Dr. Azhari menegaskan kawalan diet pemakanan merupakan antara perkara utama dalam mengubah gaya hidup pesakit diabetes tetapi masih diabaikan sesetengah pesakit.

“Selalunya, ramai yang mengambil snek (manis) di antara hidangan utama. Kawalan juga bukan hanya mengelakkan makanan bergula. Karbohidrat adalah antara bentuk gula dan buah tertentu seperti durian juga mengandungi banyak gula,” jelasnya.

Pengambilan buah memang digalakkan untuk kesihatan, tetapi Dr. Azhari menasihatkan pesakit diabetes untuk mengutamakan buah-buahan kurang manis seperti jambu batu atau buah naga.

Dr. Azhari menekankan pentingnya bagi pesakit yang disahkan menghidap diabetes untuk mengawal rapi penyakit tersebut supaya tidak membawa kepada komplikasi lain.

“Pesakit perlu mengawal rapi paras gula darah, tekanan darah dan juga tahap kolesterol melalui pengambilan ubat (atau insulin) dan juga perubahan gaya hidup.

“Bila sudah kena diabetes, pesakit akan hadapi risiko penyakit koronari yang sama tinggi dengan individu yang pernah (sekali) terkena serangan jantung,” tegasnya.

Dr. Azhari menekankan keperluan pesakit diabetes hadir untuk pemeriksaan susulan secara berkala, mengambil ubat mengikut preskripsi doktor dan kerap memeriksa tahap gula darah.

“Ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan tetapi masih tidak tahu atau kurang faham apa penyakit yang dihidapi, mahupun ubat yang sedang diambil. Pemeriksaan darah sepatutnya dimulakan seawal umur 30 tahun dan ditingkatkan menjelang umur 40 tahun,” katanya.

Beliau juga menegaskan perlunya pesakit bertanya kepada doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat tradisional bagi mengelakkan masalah dalam kawalan diabetes dan mengelakkan komplikasi.

Hari Diabetes Sedunia

Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 pada 14 November ini (Jumaat), IJN juga akan mengadakan acara sambutan Hari Diabetes seperti tahun-tahun sebelum ini.

Dr. Azhari menyatakan, sambutan hari diabetes penting bagi mengenengahkan penyakit tersebut sebagai satu masalah kesihatan semua peringkat umur masyarakat, termasuk di kalangan pesakit-pesakit IJN sendiri.

“Saya berharap kesatuan dan pihak lain turut mengadakan program serupa bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit diabetes, orang ramai dan juga para doktor.

“Pihak kesatuan lain juga diharapkan memainkan peranan masing-masing seperti mana untuk sambutan Hari Hipertensi dan Hari Jantung Sedunia bagi mengurangkan impak penyakit diabetes dan komplikasinya kepada masyarakat setempat,” katanya.

Tegasnya, pencegahan dan pengesanan mereka yang berisiko menjadi keutamaan tetapi jika sudah menghidap diabetes, maka perkara paling penting adalah mengawalnya dengan rapi (tahap gula, tekanan darah dan kolesterol), lebih-lebih lagi jika pesakit mula menghidap diabetes dari usia muda.




Comments