Risiko Pada Usia Muda? - Bahagian III

Penawar

- Untuk diabetes jenis pertama

Buat masa ini, tiada penawar khusus yang praktikal untuk diabetes jenis pertama. Faktor punca diabetes jenis ini yang disebabkan kegagalan fungsi sel Beta, islets of Langerhans di dalam pankreas telah mendorong beberapa kajian dalam bagi menggantikan sel-sel tersebut atau menggantikan keseluruhan organ pankreas sebagai satu bentuk rawatan.

Hanya pesakit yang telah menjalani pemindahan (transplan) pankreas (atau pankreas bersama buah pinggang setelah diabetes menyebabkan masalah buah pinggang), dan seterusnya tidak perlu mengambil insulin lagi dianggap sebagai ‘sembuh’ daripada penyakit tersebut.

Transplan pankreas bersama buah pinggang juga dilihat sebagai antara jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk penyakit ini dengan peningkatan jangka hayat pesakit. Namun, pemindahan organ memerlukan pesakit mengambil ubat anti-penolakan organ transplan, dalam jangka panjang.

Eksperimen pemindahan sel Beta sahaja juga telah dijalankan ke atas tikus dan manusia. Bagaimanapun, kaedah ini masih kurang berkesan berikutan kesukaran mendapatkan tisu penderma dan juga tindak balas penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.

Penyelidikan sel stem dikatakan mungkin menawarkan kaedah rawatan berpotensi dengan membolehkan sel Beta, islets of Langerhans, untuk tumbuh semula dan mengelakkan keperluan ubat anti-penolakan.

- Untuk diabetes jenis kedua

Diabetes jenis ini belum ada penawar yang berkesan sepenuhnya. Namun, sejenis pembedahan pintasan gastrik (perut) baru-baru ini dilihat mampu menormalkan paras glukosa darah dalam 80 hingga 100 peratus kalangan pesakit diabetes yang sangat obes.

Mekanisma yang membawa kepada paras gula darah yang normal ini belum difahami sepenuhnya dan masih lagi dikaji, tetapi kesan tersebut bukan hanya dikaitkan dengan penurunan berat badan berikutan kadar gula darah mula normal sebelum berat badan pesakit menurun. Pendekatan ini juga mungkin menjadi sejenis rawatan untuk pesakit diabetes jenis kedua kelak.

Pembedahan pintasan itu juga didakwa mempunyai manfaat tambahan dengan mengurangkan kadar kematian daripada semua jenis komplikasi diabetes, sehingga 40 peratus di kalangan pesakit yang sangat obes. Sebilangan kecil pesakit dengan berat badan normal atau sederhana obes juga dilaporkan telah berjaya melalui pembedahan serupa.

Komplikasi

Akut (boleh berlaku dengan pantas)

- Koma Hiperosmolar bukan ketotik (HNS); keadaan di mana pesakit mempunyai paras gula terlalu tinggi (lebih 16 mmol/L), menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan ke dalam salur darah (secara osmosis) dan buah pinggang mula membuang glukosa ke dalam air kencing. Ini akan menyebabkan kehilangan air, yang jika tidak diganti melalui minuman atau melalui suntikan air, akan menyebabkan dehidrasi. Keadaan ini dianggap sebagai satu kecemasan dan penggantian cecair badan perlu dilakukan segera. Simptom rasa letih boleh membawa kepada koma tetapi keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kes diabetes jenis kedua berbanding jenis pertama.

* Hypoglisemia; paras gula terlalu rendah dengan simptom berpeluh, menggigil, jantung berdegup kencang, sakit kepala dan boleh menyebabkan pesakit meracau atau pengsan. bagi kes yang teruk, pesakit boleh koma, sawan, mengalami kecederaan otak dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat beberapa punca keadaan ini seperti lebihan dos rawatan insulin atau tidak cukup makan. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat dengan memberi minuman manis atau makanan tetapi bagi kes teruk, suntikan hormon glukagon (menggalakkan pengeluaran glukosa ke dalam salur darah) atau suntikan gula dextrose (satu bentuk glukosa) boleh diberikan.

Kronik (berlaku secara perlahan-lahan)

- Penyakit sistem vaskular; peningkatan tahap glukosa darah yang berpanjangan boleh membawa kepada kerosakan salur-salur darah (angiopati). Ini menyebabkan lapisan sel salur darah menyerap lebih banyak glukosa dari biasa memandangkan sel-sel tersebut tidak bergantung kepada insulin. Peningkatan penyerapan ini membawa kepada penebalan dan juga melemahkan lapisan tisu membran salur darah. Kerosakan salur darah dibahagikan kepada mikro (salur darah kecil) dan makrovaskular (salur darah besar-arteri). Kerosakan salur darah seterusnya membawa kepada;

* Retinopati diabetik; pertumbuhan salur darah baru yang rapuh dan tidak berkualiti pada retina mata. Ini juga boleh membawa kepada pembengkakan makula mata (makular edema) yang seterusnya boleh menyebabkan penglihatan pesakit semakin teruk atau menjadi buta. Masalah ini juga merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah, di seluruh dunia.

* Neuropati diabetik; kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa, bermula pada kaki dan berpotensi merebak ke bahagian saraf lain, termasuk deria rasa pada jari dan tangan. Digabung dengan kerosakan salur darah, keadaan ini boleh membawa kepada ‘kaki buruk’ diabetes. Terdapat juga keadaan dima mana otot menjadi lemah disebabkan komplikasi ini, dikenali sebagai amiotropi diabetik.

* Nefropati diabetik; kerosakan kepada buah pinggang yang boleh membawa kegagalan fungsi renal, akhirnya memerlukan pesakit menjalani dialisis. Diabetes mellitus adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.

* Kardiomiopati diabetik; kerosakan pada jantung yang membawa kepada disfungi diastolik dan seterusnya kegagalan jantung berfungsi.

- Penyakit makrovaskular akan membawa kepada penyakit kardiovaskular di mana kerosakan pantas pada arteri menjadi faktor penyumbang kepada;

* Penyakit arteri koronori – membawa kepada angina atau serangan jantung (myocardial infarction).

* Strok – terutamanya jenis iskemik (pengurangan aliran darah ke bahgian tertentu otak).

* Penyakit vaskular periferal – menyumbang kepada rasa kebas (sakit) berulang-ulang (tempoh singkat) dan juga ‘kaki buruk’.

* Myonekrosis diabetik – kemusnahan otot.

* Kaki buruk diabetes – selalunya berlaku akibat gabungan neuropati (hilang deria rasa kaki) dan kerosakan salur darah. Peningkatan kadar ulser dan jangkitan kulit, dan kadang kala nekrosis atau gangren menyebabkan kerosakan atau kecederaan kaki lebih lambat sembuh. Komplikasi ini adalah punca utama pemotongan (amputasi) kaki bukan akibat trauma di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.

Perwarisan genetik

Kedua-dua diabetes jenis pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian kaitan dengan faktor warisan genetik.

- Diabetes jenis pertama dilihat tercetus akibat jangkitan tertentu (terutamanya dari virus), atau kadang kala oleh tekanan (stres) atau pendedahan persekitaran (bahan kimia atau ubat tertentu). Kaitan genetik dikatakan bersangkut paut dengan kod genetik individu yang membolehkan sistem imuniti badan membezakan sel badan dan sel asing (penceroboh).

Walaupun sesetengah individu mempunyai kelemahan dari segi warisan genetik, diabetes jenis pertama dilihat memerlukan faktor pencetus untuk mula berlaku. Sebilangan kecil penghidap diabetes jenis pertama juga mempunyai gen mutasi yang menyebabkan diabetes pada usia muda.

- Terdapat kaitan faktor genetik yang lebih kuat dengan diabetes jenis kedua. Mereka yang mempunyai saudara terdekat (ibu, bapa, adik-beradik) dengan diabetes jenis kedua mempunyai risiko lebih tinggi menghidapinya kelak. Peratusan risiko juga meningkat dengan bilangan saudara terdekat yang menghidap diabetes jenis ini, dan hampir 100 peratus kesejajaran bagi kembar seiras.

Lebih 25 peratus penghidap diabetes jenis kedua juga mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes. Obesiti yang merupakan satu faktor bebas untuk diabetes jenis kedua juga mempunyai kaitan warisan genetik yang kuat.

Antara gen yang dikaitkan dengan diabetes jenis ini termasuk KCNJ11 dan TCF7L2 (transcription factor 7–like 2), which regulates proglucagon gene expression and thus the production of glucagon-like peptide-1


Comments